KEPENDIDIKAN: wajar atau tidak hukuman "PUBLIC CANING"
hari ni Jumaat, sekolah selalu ada perhimpunan. lepas bercakap beberapa lama..Guru Besar menjalankan hukuman "PUBLIC CANING" kepada budak yang suka ponteng kelas SBT dengan sesapa yang tak boleh baca sifir. aku tengok GB hayun rotan dah cukup untuk buat aku ngilu.
aku mula melangkah masuk ke sekolah yang pertama pada tahun 1992. Sekolah pertama aku S.K Alor Janggus..aku ingat lagi hari pertama gi sekolah orang lain mak hantar dan tunggu tapi aku relax je sensorang. Berdikari ayah aku kata..Tahun 2 aku ada sorang cikgu yang datang praktikum. aku tak ingat muka dia, tapi aku ingat rotan yang di bawa ke mana sahaja. Cikgu tu nama cikgu Rizal..aku memang antara budak nakal yang cakapnya tak leh berenti dan cikgu Rizal ni mengajar PJ..ada sekali tu aku pakai seluar lain dia suruh aku berdiri atas meja then rotan bontot aku. Sakitnya tak terkata.
hari ni aku pulak yang jadi cikgu dan mengendong rotan ke setiap kelas yang aku masuk. Masalah disiplin bukan isu baru. Dengan kepesatan pembangunan dan juga minda penduduk yang kian berubah mengikut arus globalisasi, masalah disiplin murid sekolah rendah atau sekolah menengah meningkat naik mendadak.
Wajarkah guru menggunakan disiplin merotan sebagai cara mendidik pelajar pada zaman ini? Menurut bancian yang dilakukan oleh Utusan online, mendapati 57.2% pembaca bersetuju dengan kenyataan bahawa pelajar zaman sekarang terlalu manja. Sehubungan dengan itu, seramai 57.5 peratus pembaca juga bersetuju agar Kementerian Pelajaran mengkaji semula hukuman merotan pelajar yang mempunyai masalah disiplin di khalayak ramai (public canning).
Kalau dulu, peranan guru cukup hebat. "Kedaulatan" seorang guru cukup digeruni. Kalau dulu guru bebas menggunakan apa cara sekalipun dengan niat untuk mendidik, tapi hari ini murid yang bebas menggunakan cara apa sekalipun agar tidak dihukum walaupun beribu kesalahan yang dilakukan.
Hari ini, sekolah sudah tidak dapat berfungsi dengan sepatutnya. Sekolah menjadi tempat menghabiskan masa selama setengah hari. Sekolah juga menjadi ‘medan pertempuran’ kaki samseng dan perosak akhlak yang akhirnya merosak jiwa pelajar-pelajar yang lain. Pendek kata, sekolah menjadi lokasi terbaik untuk membuang masa. Pelajar pula bebas melakukan apa sahaja tanpa bimbingan dan sistem sosialisasi yang betul dan ibu bapa pula dengan sewenang-wenangnya mencampakkan segala tanggungjawab mendidik itu kepada guru sepenuhnya.
Hari ini sekolah tempat aku bertugas kembali menggunakan hukuman "PUBLIC CANING" untuk memberi pengajaran kepada semua murid memandangkan tahap disiplin kami adalah yang terburuk di KAPIT. Ada juga antara murid aku yang takut apabila dirotan, tapi ada pula yang bangga dirotan. masih boleh ketawa dan tersenyum megah tatkala rotan hinggap di punggung. Setap hari aku bangun pagi dengan azam memberikan yang terbaik tetapi kadangkala murid yang "menggila" benar-benar mencabar jiwa seorang yang panas baran seperti aku. Hampir juga aku menitiskan air mata tatkala melihat mutiara jernih bergenang di kelopak mata budak usia 10 tahun yang dirotan aku kerana kesalahan. Tapi niatku hanya untuk mendidik. Agar mereka tahu kepentingan ilmu, tentang kepentingan memberikan tumpuan pada setiap yang diajar..
Kalau dulu aku dirotan guru, aku takkan berani-berani buka mulut menceritakan pada abah atau mak yang aku dirotan. Pasti abah akan menambah perit di tangan. Tapi budak hari ini, lain yang dibuat guru lain pula ceritanya. Beberapa kali aku berhadapan dengan situsi ibu bapa yang menyalahkan aku kerana merotan anak mereka. Tetapi aku tetap keras mempertahankan tindakan aku. Ibu bapa perlu lebih telus di dalam medengar cerita. Pastinya apabila anak anda dirotan kerana kesalahan. Tiada guru yang akan merotan tanpa sebab kecuali guru itu GILA!!!
ada juga kes terpencil di mana murid menulis "karangan" memaki aku dengan kata-kata yang tidak pernah aku jangka akan datang darinya hanya kerana aku menegur tulisan comot dan sukar untuk dibaca. Tidak pernah aku menyumpah mengatakan "awak ni bodoh.." atau "tak guna otak ke?" kerana aku takut sumpahan itu menjadi nyata. Aku panggil murid tersebut..
AKU : Awak yang tulis ni?
DIA : Ya cikgu. Saya yang tulis.
AKU : Dah..masuk kelas
aku tergaman ketika itu. tak mampu nak menghukum budak yang mengaku kesalahan kecil yang dilakukan. Tetapi apabila bapanya datang berjumpa dengan aku, bapanya mempertahankan tindakan anaknya. Dikatanya "asalkan boleh baca ok la!"..terasa berderau darah aku naik ke kepala. Bukan untuk membincangkan prestasi anak tetapi datangnya untuk menghentam cara kita mendidik anaknya. Apa yang aku bimbangkan bukan kesalahan yang dilakukan tetapi pergolakan jiwa anak kecil ini yang akan menjadi barah. Disekat segala pergerakkan, disekat nikmat untuk berkawan juga tidak boleh menyertai apa sahaja walaupun dialah yang terbaik.. Berilah peluang pada guru. Guru adalah ibu bapa kedua. Aku mendidik bagaikan anak aku sendiri. fikir-fikirkan la..wajar atau tidak hukuman PUBLIC CANING atau rotan digunakan.
Comments