FAKTOR MURTAD DTG DARI SIKAP KITA, POLITIK DAN SEBAGAINYA


Idea untuk murtad itu mudah sebenarnya. Tak susahpun. Ini adalah sebab sikap masyarakat kita sendiri. Orang melayu rasa Islam itu hak eksklusif mereka. Tanpa sedar Islam yang dianuti itu sekadar agama warisan dari ibu bapa..dari nenek moyang..bukanlah  agama yang kira cari dengan usaha yang berterusan.

Dr Maza mengupas isu ini beberapa hari lepas. Sampai hari ni dah beribu-ribu orang islam yang murtad. Ada yang akan komen “apala bodoh sangat diorang ni” “bunuh je diorang” itu adalah kata mudah untuk manusia yang tidak mengalami nasib serupa seperti mereka yang memilih untuk murtad. Manusia yang dikenali sebagai “MELAYU”  ni memang suka menghukum orang lain dengan mulut diorang.

Saya bertugas di kawasan yang majoritinya orang beragama kristian. Tugas saya memerlukan saya ke gereja sekurang-kurangnya sekali seminggu selama 1 jam 30 minit. Saya ulang KE GEREJA SEKALI SEMINGGU SELAMA 1 JAM 30 MINIT..dah 5 tahun saya berulang alik ke gereja Methodist itu. Bersama-sama mendengar kuliah agama tersebut tetapi itu tidak bermaksud saya MURTAD… malahan tabiat itu akhirnya merubah saya menjadi lebih dekat kepada agama yang saya anuti sejak kecil…agama warisan iaitu ISLAM… mengikuti kuliah di gereja tidak merubah akidah saya. Ya…saya akui kadang-kadang saya ikut berdehem mengikut alunan melodi lagu pujian tuhan mereka tetapi cepat berhenti ..itu juga tidak bermaksud saya mengadaikan akidah saya untuk itu. Saya tidak pernah mengakui Jesus itu tuhan.

Anak didik saya di sini 90% adalah kristian, Ibu bapanya kristian. Ada antara mereka yang pernah menganuti agama Islam atas dasar ibu bapa berkahwin campur tapi sayang ramai juga yang murtad. Kembali menganuti agama asal. Ini adalah senario biasa bagi kami yang mendidik di sini. Pelbagai usaha dilakukan untuk menghalang dan melindungi akidah anak-anak kecil yang hanya tahu mengikut apa yang disuruh ibu bapa…menarik minat anak didik yang menginjak usia dewasa untuk mengenali agama Islam bila mereka mula bertanya…tugas sukar untuk ditanggung barangkali.
Tetapi apakah yang menyebabkan mereka ini mudah terpesong akidahnya? Kerana sikap orang MELAYU yang kononnya Bergama ISLAM..majoriti Melayu islam di kawasan saya bertugas masih mengamalkan budaya masyarakat setempat. Mengamalkan ilmu sihir, masih bersidai di kedai kopi sambil menogak Carlsberg atau Genuie Stout dengan berpakaian baju melayu, lelaki mengimamkan solat dengan memakai rantai emas. Perempuannya masih tidak bertudung dan mengenakan baju seksi, tidak bersolat, tidak mengajar anak-anak tentang islam, masih masak makanan tidak halal sebagai hidangan di rumah. Jadi bagaimana pandangan tentang Islam? Ianya sekadar nama agama tetapi bukan amalan dan praktikal.

Anak angkat saya adalah seorang remaja kristian yang suka saya dekati kerana kemiskinan keluarga yang hampir menyebabkan dia keciciran. Jujurnya saya ingin mengambil murid islam tetapi ibu bapa tidak memberikan kerja sama..malah murid islam itu sendiri tidak mahu mendekati guru islam tetapi lebih tertarik kepada guru bukan islam yang bergaya, rambut pelbagai gaya dan warna, pakaian lebih anggun menunjukkan susuk tubuh yang lawa.  Anak angkat saya tadi mempunyai ramai makcik yang memeluk islam atas dasar perkahwinan. Bila ditanya tentang solat dan amalan asas, masing-masing menggeleng kepala. Ada antara mereka yang anaknya dinamakan dengan nama kristian. Solat tidak, puasa tidak, zakat tidak, menutup aurat tidak, pendek kata semuanya tidak. Hidup dalam kemiskinan dan tanpa panduan menyebabkan mereka terus begitu. Dimanakah peranan Jabatan Agama yang sepatutnya memberikan bantuan dan bimbingan tentang fardhu Ain?

Murid saya Nadia bt Abd Halim asalnya adalah Nadia AK Rentap (Bukan Nama Sebenar) seorang gadis berbangsa iban yang diislamkan apabila ibunya yang berbangsa iban berkahwin dengan lelaki melayu Islam. Ayahnya seorang kaki botol, berjudi, melanggan perempuan  dan hidup seperti kebanyakkan orang iban beragama kristian. Ibunya masih menyediakan Babi sebagai hidangan di rumah. Apabila dia menginjak ke sekolah menengah dan sering datang bertemu saya, agak terkejut saya apabila dia datang dengan memakai “pinafore” lalu saya ajukan soalan.

“kamu agama apa ni Nadia? Kenapa pakai skirt? Mana baju kurung dan tudung kamu?”

“cikgu dia bukan islam lagi cikgu. Sudah masuk kristian dia” balas rakannya. Nadia senyum tanpa perasaan bersalah.

“Astarghfirullah… kenapa macam ni?”

“Mak saya sudah bercerai dengan ayah saya. Jadi mak saya tak suruh saya ikut agama islam lagi” katanya.

Diam saya. Terkedu dan tak sempat berfikir. Bila saya tanya mahukah dia tinggal dengan saya jika dia masih mahu menjadi seorang Islam. Dia gelengkan kepala. Mahu menjadi kristian katanya.

“sama saja cikgu jadi kristian atau islam. Orang islam pun makan babi, minum arak. Tengok kawan saya islam tu, bamput* suka hati saja. Tak pakai tudung pun. Artis melayu semua tak pakai tudung, pakai baju seksi. Tak ada beza.”

“beza Nadia. Mereka islam hanya pada nama. Umi tak macam tu kan?Kenapa kamu nak ikut mereka?”

Saya diam dan kelu. Kanak-kanak yang sedang membesar, orang bukan islam yang memeluk islam, orang islam yang datang dari keluarga yang pincang semuanya sedang memerhatikan kita Melayu Islam. Yang gah melaungkan “kami cintakan agama kami”  tapi masih hidup seperti mereka yang tidak beragama. Lalu saya berpesan pada anak angkat saya yang masih beragama kristian itu.

“Andai kata satu hari nanti kamu terpesona dengan ajaran Islam., mencintai lelaki Islam, pastikan dia adalah seorang lelaki yang baik agamanya. Yang dapat membimbing kamu dan melindungi kamu daripada azab api neraka”

Saya pernah menyusup ke dalam kumpulan “Melayu Murtad” yang rata-ratanya berpendidikan tinggi malah ada juga yang mendapat pendidikan agama yang sempurna. Rata-ratanya hilang kepercayaan pada agama Islam kerana faktor sikap orang islam sendiri. Melayu untuk Islam. Kalau orang cina atau India atau iban atau kadazan atau mana-mana bangsa lain memeluk islam kita gelarkan mereka “Mualaf” Apa beza mualaf dengan melayu islam? Takda beza. Semuanya masih mentauhidkan tuhan yang sama . Allah swt. Kenapa harus dibezakan?  Akhirnya mereka yang baru mengenali Islam ini kembali tawar hati. Dibezakan dalam komuniti islam itu sendiri. Yng sepatutnya mendapat keistimewaan adalah orang islam…bukan hak keistimewaan melayu.

Bila mereka memperjuangkan sesuatu, mereka memperjuangkan atas tiket bangsa bukan agama. Melayu..melayu….melayu….itu sahaja yang mereka tahu.

“Mana boleh parti P menang! Mereka bersekongkol dengan parti D. Kau nak orang C mentadbir negara kita? Bolehla tukar agama lepas ni” sindir saudara melayu A.

“Mana boleh parti B menang. Diorang tu tak mengamalkan islam sebenarnya. Nama saja memperjuangkan agama islam tapi hidangkan k-pop separuh telanjang pada ramaja kita” Kata saudara melayu K pula.

Mudah kata saya, saya tidak peduli siapa yang mentadbir Malaysia ini asalkan dia beragama islam. Mengamalkan sebenar-benar islam. Cina ka India ka Melayu ka Iban ka Melanau ka Bidayuh ka Orang Asli ka Kadazan ka Bajau ka asalkan dia beragama islam dan mengamalkan suruhan agama tauhid ini. Agar yang rakyat islam dapat mengamalkan sebenar-benar islam, bergaul mesra dan menghormati agama lain dan bangsa lain tanpa sengketa. Ehh….tersasul ke politik pulak..

itulah realitinya. Kerana permainan politik, kemodenan, pengaruh asing, kemiskinan dan sikap acuh-tidak acuh kita yang mendorong budaya murtad ini. Jangan disalahkan paderi hansome yang berbasikal menyebarkan dakyah mereka, jangan disalahkan pihak gereja kerana itu memang tugas mereka. Menyebarkan agama kristian. Salahkan diri kita sendiri. Sejauh mana kita komited dalam mengamalkan suruhan agama kita dan sejauh manakah kita mampu mempertahankan akidah anak bangsa kita. Atau kita adalah penyumbang statistik kepada kerosakkan akhlak pewaris masa depan kita.

Comments

Popular posts from this blog

Review SK II : Fasa II Selepas 2 tahun

Bestnya kahwin muda

Lady photographer a.k.a jurugambar wanita